Dasar Pendidikan Kebangsaan
Latarbelakang
Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan,
telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang
betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk
mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas
kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan
melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran,
1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang
menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian
dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.
Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet
telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan
dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk
melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta
memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara
dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun
1979.
Rasional
Rasional
Sistem pendidikan di zaman penjajahan
telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan,
pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan
berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan
mereka kepada negara asal mereka dan menekan suppress semangat
pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah
Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia
didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi
menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara
yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.
Objektif
Objektif
Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:
"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.
Seterusnya, objektif-objektif ini
diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang
tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan
diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam
jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu,
berdisplin dan terlatih.
Falsafah Pendidikan Negara yang
diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara
bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan
yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai
kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi satu matlamat penting
sistem pendidikan kebangsaan.
Strategi Pelaksanaan
Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:
(a) Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang
utama;
(b) Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia
bagi semua jenis sekolah;
(c) Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;
(d) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
(e) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu;
(f) Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun;
(g) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan
mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman;
(h) Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh;
(i) Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui
penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978;
(j) Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di
peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan;
(k) Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;
(l) Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata
pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan
(m) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin,
seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.
Di samping strategi ini, Dasar
Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan
memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan
sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di
Kementerian/Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa
yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan
Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan
tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini. Diantaranya termasuklah
penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian
Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku
Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan
Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat
Perkembangan Kurikulum.
Penutup
Penutup
Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya
dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan.
Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian
adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan
keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti
pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar
ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi
jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat
menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang
keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk
mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang
menekankan penyertaan swasta secara aktif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan